counter

Thursday, 31 October 2013

Sukun Oh Sukun

Peluang berkumpul bersama rakan-rakan satu kelas pengajian ku (ukm) menimbulkan rasa seronok seperti berada di zaman sekolah asrama dahulu. Banyak perkara yang kami bualkan bersama.  Kerancakkan berbual menyebabkan kami tidak sedari jam sudah melewati jam 3 pagi. Kenangan-kenangan lama diceritakan kembali. Ada cerita yang mengundang gelak dan tawa namun ada juga cerita yang mengundang rasa simpati dan sedih. Antara banyak-banyak perkara yang dibualkan, ada satu perkara yang membawaku kembali ke satu kenangan satu waktu dahulu iaitu sukun. Di kawasan kejirananku, ada jiran yang menanam pokok sukun di tepi rumahnya. Pokoknya besar dan berbuah lebat. Buah-buahnya selalu disedekahkan kepada jiran-jiran sekitar kejiranan kami.
Boleh dikatakan tiap-tiap petang juga ibuku membuat sukun goreng atau kerepek sukun atau pengat sukun sebagai juadah petang. Masih terasa-rasa kesedapannya. Tapi disebalik kesedapan buah sukun tersebut, ada cerita misteri yang tersembunyi. Pokok sukun yang besar itu sering menimbulkan ketakutan aku dan rakan-rakan sepermainanku. Pokok yang besar itu kelihatan sungguh menyeramkan kala malam. Mahu atau tidak aku terpaksa juga melaluinya kerana itulah laluan aku untuk pergi mengaji al Quran. Setiap kali melaluinya pasti aku berlari selaju yang boleh sambil menjerit memangil ibuku kerana bimbang dikejar hantu. Atau aku akan membaca surah-surah yang diingati sdengan suara yang kuat. Kelakar bila memikirkan ketakutan melampau ketika itu. Menurut cerita orang-orang tua, pokok sukun tersebut dihuni oleh jembalang. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat aku sahkan. Mungkin juga sekadar rekaan semata-mata untuk mengelakkan kami dari keluar malam. Tapi kini pokok tersebut sudah tidak ada lagi. Sudah ditebang kerana takut dahannya menghempap rumah dan mendatangkan bahaya. Sukun oh sukun. Rindu rasanya ingin menikmati sukun goreng, kerepek sukun, pengat sukun seperti dulu-dulu..


Sukun Goreng
Kerepek Sukun

Pengat Sukun



Monday, 21 October 2013

Kenangan Semalam


Mengimbau kenangan semalam saat keberangkatan pulang ke medan pencarian ilmu setelah cuti sambutan Raya Aidiladha berakhir. Sepanjang perjalanan hanya curahan air hujan yang menemani. Seperti memahami beratnya hati meninggalkan semua kesayanganku di teratak bonda dan ayahanda. Mungkin betullah apabila hujan itu sering disamakan dengan kesedihan, kedukaan, kelukaan seseorang yang termasuk juga aku. Tergiang-giang lagu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, Hujan. 
.
Maka bertambah-tambahlah kesedihanku mengenangkan insan-insan di rumah. Ku rasa hujan menambah lagi kedinginan air-cond di dalam bas. Menggigil jadinya kerana menahan kesejukan. Saat itu mulalah teringatkan bantal dan selimutku. Seronok rasanya jika saat-saat ini berada di rumah. Boleh berselubung di dalam selimut di alasi pula katil empukku bersama bantal kesayanganku. Namun itu semua angan-anganku saja. Realitinya aku harus pulang!. Menyambung semula pengajianku dalam proses mencari setitis ilmu.     
Titisan hujan dibumi Bentong
  Suasana sepi di dalam bas membuatkan aku lebih berminat melontar pandangan jauh ke luar jendela. Memerhatikan rintik-rintik hujan yang turun. Damai perasaanku kala itu. Kenangan lama bergulir di ruang ingatanku. Kenangan beberapa tahun dahulu ketika aku masih dibangku sekolah rendah. Hujan merupakan kegemaranku dan sahabat-sahabatku. Pantang bunyi guruh dilangit ditambah perubahan cuaca, kami sekumpulan sudah pun bersiap sedia menanti di luar.Menikmati angin yang kencang dan suasana yang sejuk. Turun sahaja hujan kami melonjak-lonjak kegembiraan. Seronoknya masa itu. Berlari-lari kami ke sana ke mari di dalam hujan lebat. Ada sahaja tempat yang digenangi air hujan pasti menjadi destinasi permainan kami. Tidak terlepas longkang di hadapan rumahku. Untuk pengetahuan, longkang di kawasan perkampunganku bersih dan tidak di mempunyai sampah sarap dan bukannya dijadikan saliran air kotor dari rumah-rumah. Longkang sentiasa dibersihkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jadi tidak menjadi hal untuk kami bermain air hujan di dalam longkang. Kami akan bermain sehinggalah hujan reda. Namun kebiasaanya setelah hujan berhenti pasti kami dimarahi oleh ibu dan ayah kerana bermain hujan dan kadangkala dirotan kerana melanggar larangan mereka. Meskipun selalu dimarahi tetapi ianya tidak menghalang kami bermain hujan kerana hujan adalah kegemaran kami. Tersenyum aku sendirian di dalam bas memikirkan kenakalanku suatu masa dulu. 




Thursday, 10 October 2013

Mencari Taman-Taman Syurga



Seusai solat maghrib, terdengar suara imam di surau kolej sayup-sayup menyampaikan ceramah. Butir bicara nya tidak jelas dipendengaranku. Keluhan berat dilepaskan. Sungguh, aku merindui saat tinggal di asrama dahulu. Tiap-tiap malam kami dipenuhi dengan majlis-majlis ilmu. Kata ustazku empat tahun yang lalu, "Majlis-majlis ilmu umpama taman-taman syurga Allah. Carilah taman-taman syurga di dunia  sementara masa ada hayat". Seronok ketika itu kerana hidup ini sentiasa terisi dengan kalam-kalam Ilahi. Bersama sahabat-sahabat bergerak ke surau dan solat berjemaah bersama. Kemudian disusuli pula tazkirah oleh ustaz dan uztazahku. Disampaikan penuh berhemah dan penuh kasih sayang oleh ustaz dan ustazah. Namun kini, sedih bila mengenangkan kealpaan diri ini yang seakan tiada kesungguhan merebut peluang menghadirkan diri ke taman-taman syurga. Allahu Rabbi. "Moga masih ada kesempatan buatku dan juga teman-temanku mencari taman-taman syurga Ilahi. Menjadikan majlis ilmu sebagai destinasi pilihan."


Tuesday, 1 October 2013

Janji Abah..

Kepergian aku bersama rakan sekursusku ke Muzium Adat, Kuala Klawang pagi semalam merupakan suatu yang sangat mengujakan. Kami berpeluang memahami dan menambah ilmu pengetahuan berkenaan adat istiadat terutamanya adat perpatih. Pengalaman ini pastinya akan ku simpan di dalam kotak kenanganku. Mengimbau semula kenangan aku menyertai lawatan, ada satu satu kenangan yang kurasakan cukup sukar untuk dilupakan meski sudah 15tahun ianya berlalu. Ketika itu aku baru berusia 6 tahun dan belajar di tadika. Seperti tahun-tahun yang sudah, sebelum tamat belajar di tadika, pihak tadika akan menganjurkan lawatan ke Zoo Negara. Ya, aku antara orang yang menyertainya. Bertapa gembiranya aku kerana akan dibawa melihat haiwan dengan lebih dekat lagi. Abahlah yang menjadi penemanku. Tanganku sentiasa digengamannya, takut aku hilang katanya. Bila aku merengek kepenatan, abah tidak lokek mendukungku. Seharian kami berjalan mengelilingi zoo melihat haiwan-haiwan yang ada dalam kurungan. Abah jugalah yang menjadi guruku hari itu. Semua binatang diperkenalkan kepadaku. Banyak ilmu yang ku peroleh hari itu. Tidak sabar rasanya ingin menceritakan kepada teman-teman dan adik-beradikku yang lain. Tidak ketinggalan, abah turut menjadi cameramanku. Setiap tempat yang kami lawati pasti menjadi tempat untuk aku bergambar, pelbagai gaya dan aksi aku lakukan untuk kenang-kenanganku. Bertuah sungguh punya abah yang kaya dengan kasih sayang. Seusai berjalan di Zoo Negara, kami meneruskan pula perjalanan ke sebuah shopping complex. Aku dan abah tidak ketinggalan berjalan-jalan mencuci mata di sana. Setiap tingkat kami lawati. Tiba di tingkat menjual aneka alat tulis dan keperluan sekolah aku jadi rambang mata. Teruja rasanya melihat pelbagai jenis dan corak beg sekolah. Tapi kata abah aku masih tadika dan beg sebegitu tidak sesuai untukku kerana terlalu besar. Kemudian aku beralih ke rak yang dipenuhi pensil warna. Mataku tertumpu kepada pensil warna Luna yang ada 24 batang warna di dalamnya. Di sisiku, abah hanya memerhatikanku. "Abah, nak pensil warna ni boleh?" tanyaku. Dengan penuh berhemah abah memnyatakan yang dia tidak cukup wang kerana harganya mahal. Duit yang ada untuk membeli makanan. Meski sedih namun aku memahaminya kerana aku tahu abahku bukan orang kaya. Melihat kesedihanku Abah berjanji akan membelinya nanti. Mungkin ditempatku harganya lebih murah kata abah. Aku tersenyum kegembiraan mendengar janji abah. Beberapa bulan kemudian aku mendaftar didarjah satu. Petang itu, pulang dari sekolah abahku menghulurkan sekotak pensil warna. Gembira tatkala mengambilnya dari tangan abah. Meskipun abah hanya membelikan pensil warna Luna yang bersaiz kecil namun aku tetap gembira. Bersyukur dikurniakan abah sepertinya. Semoga Allah terus meminjamkan aku ibu bapa sebaik mereka. Aminn..

Friday, 27 September 2013

Suatu Masa Dulu..

Cuti hujung minggu kali ini tidak aku sia-siakan. Aku mengambil keputusan untuk pulang berhujung minggu di kampung. Rindunya aku pada kampung halaman sudah tidak terkira lagi, seakan-akan sudah bertahun lamanya tidak pulang. Sejujurnya aku amat rindukan gelak tawa dan kenakalan anak-anak saudaraku. tersenyum sendiri aku tatkala terkenangkan keletah mereka. Ada sahaja ulah mereka yang mampu mengundang tawaku.

          Keriuhan suara anak-anak buahku bermain di halaman menarik perhatianku untuk menyertai mereka petang itu. Aku hanya memerhatikan mereka dari atas buaian diberanda rumahku. Keasyikan aku menonton gelagat anak-anak buahku bermain telah menghantar aku jauh ke daerah kenangan. Dulu, dihalaman rumah inilah tempat aku sering menghabiskan waktu bersama rakan-rakanku. Kami berkejaran, bergelak ketawa dan bermain bersama-sama. Rounders  pula sering menjadi permainan pilihan kami setiap petang. Kadang-kadang kami bermain "tuju tin", "selipar beracun (tiada duit nak beli bola)", "galah panjang", dan macam-macam lagi. Pendek kata kami tidak pernah ketandusan idea untuk bermain. Waktu petang tidak pernah sunyi dari keriuhan kami bermain. Indah sungguh waktu itu. 

          Lamunan aku terhenti apabila salah seorang anak saudaraku menangis. Berebut bola rupanya. Aku hanya tersenyum dan hanya memerhatikan sahaja mereka. Membiarkan kakakku mententeramkan anak saudaraku itu. 

AFIQ RAYYAN

ADIB FAHMI

ABANG & ADIK

SEPUPU =) ARISSYA ZAHIRA & AQIL IMAN

ADIB LAGI

AQIL IMAN

MEREKA BUAH HATI KAMI


Monday, 23 September 2013

Kehilangan Yang Dirindui

Keseronokkan bersama sahabat
Kegembiraan disaat bergelar kanak-kanak suatu masa dulu adalah suatu memoir yang sukar dilupakan. Sekitar sedekad lalu, pada Oktober 2003 kami dikejutkan dengan berita kehilangan salah seorang teman sepermainan ku yang juga merupakan jiran ku. Berita yang turut meragut keceriaan kami semua. Kehilangan secara tiba-tiba telah melenyapkan gelak dan tawa kami. Kehilangan yang menjadikan langkah kami tempang, rentak kami sumbang, senyum kami sumbing dan tawa kami turut menyimpan seribu duka. Usia yang masih mentah tidak sekali-kali menghalang kami memahami erti sebuah kehilangan. Persahabatan yang terbina telah dipisahkan oleh sebuah kematian. Perginya dia menghadap Sang Pencipta yang Maha Agung akibat penyakit appendik yang dihidapi tanpa dia sendiri sedari. Masih jelas diingatan saat itu aku berada di kampung untuk menziarahi datukku(kini arwah). Melalui telefon di rumah saudaraku, abangku menyampaikan berita sahabatku dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan seberapa segera. Keadaannya sudah teruk ketika itu. Kami sekeluarga bergegas pulang ke rumah untuk menziarahinya. Namun hasrat untuk menziarahinya tidak kesampaian kerana sahabatku telah dipindahkan ke dalam wad ICU yang menghadkan sebuah pertemuan. Perasaanku bercampur baur ketika itu.
Sekitar jam 2. 30 pagi sekali lagi ibuku mendapat panggilan dari jiranku yang menyatakan sahabatku telah pun menghembuskan nafasnya yang terakhir akibat appendiknya telah pecah dan tidak sempat melakukan pembedahan. Ibu mengejutkan aku dan adik beradik yang lain. Jam 4 pagi jenazahnya tiba diperkarangan rumah untuk dimandikan dan disolatkan sebelum disemadikan. Aku dan sahabat-sahabat yang lain tidak melepaskan peluang menziarahinya buat terakhir kali. Sebagai tanda perpisahan buat selamanya di dunia ini. Sayu hati saat terpaksa mengucapkan selamat tinggal kepada sebuah wajah yang tenang dan mendamaikan. Hanya titipan doa yang mampu diutus sebagai ubat meleraikan rindu. Rindu yang telah sekian lama mengalunggi diri. Semoga dirimu tenang dan aman dialam sana sementara menanti kepulangan kami semua. Sahabatku Mohammad Fazizan bin Yusof (1994-2003).

Inginku Gapai Langit Biru.

"Tengok tu, ada kapal terbang."laung seorang kanak-kanak dengan tiba-tiba. Kawan-kawannya yang sedang enak berkejaran menoleh ke arah tempat yang ditunjukkan. Semuanya kelihatan teruja. Tidak ketinggalan seorang kanak-kanak perempuan yang turut serta bermain di halaman sebuah rumah kosong itu. "Bila besar nanti aku nak naik kapal terbang" sahut seorang dari mereka. Manakala yang lain turut menyatakan hasrat yang sama dan mula memasang cita-cita untuk berada dilangit biru. 
Kanak-kanak perempuan yang masih lagi mendonggak melihat kapal terbang itu tiba-tiba bersuara. " Aku nak bawak kapal terbang tu bila aku besar nanti. Aku nak pegang awan. Aku nak rasa terbang macam burung". Kata-katanya itu mendapat reaksi negatif dari rakan-rakannya. Ada yang mentertawakannya dan ada yang memberi komen. Kata mereka dia perempuan, mana mungkin mampu bawa kapal terbang yang berkali ganda saiznya. Reaksi negatif itu hanya disambut dengan seulas senyuman namun tidak sedikit pun mematahkan semangatnya. Tekadnya sudah bulat, ingin sungguh dia membuktikan anggapan mereka salah. "Biarkan apa yang orang hendak kata, apa yang orang hendak fikir kerana yang melalui hidup ini adalah kita, yang mencorakkannya juga kita. Jika betul duduk lakunya maka baiklah hasilnya, jika tidak betul duduk lakunya maka buruk jugalah hasilnya. Kita hanya merancang dan biarkan ALLAH Azza Wa Jalla yang menentukan. Kerana ALLAH SWT adalah sebaik-baik perancang" tergiang-giang lagi kata-kata ibunya suatu masa dahulu.