Sedari kecil watak abang yang aku kenal hanyalah seorang yang garang, pembegis, pemarah, pemalas, pemberontak dan segala yang negatif. Aku melihat semua watak itu menerusi tingkah abangku sendiri. Dan aku meletak semua yang negatif ini pada semua abang-abang. Namun di sekolah, seorang sahabat menceritakan yang abangnya tidak memiliki sifat sebegitu malah abangnya seorang yang baik, penyantun dan penyayang. Ya, aku mencemburuinya. Tidak tahu mengapa, hubungan aku dengan abangku tidak seperti abang dengan adik. Hubungan kami seperti ada jurang yang sungguh luas. Sehinggakan jika terlihat dia aku cepat-cepat menyorok atau melarikan diri. Bukan apa, takut dimarahi dan dipukul. Sikap baran abangku membuatkan aku membenci dirinya dalam diam. Seringkali aku mempersoalkan sikapnya kepada ibu. Namun ibu juga tidak mampu melakukan apa-apa. Kata ibu, mungkin abang sedang membesar dan dia mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri. Biarpun ibu menjelaskannya namun aku tidak dapat terima kerana ianya tidak adil bagiku. Aku masih kanak-kanak ketika itu jadi wajarlah jika aku seringkali bermain lumpur, mandi hujan, selalu tidak lekat di rumah, bermain sampai ke petang hingga mengotorkan baju, dan selalu melakukan kesalahan. Mengapa kerana itu dia ingin memarahi kami? Besar sangatkah kesalahan ku? Kenapa abangku tidak pengasih seperti abang sahabatku? Yang turut sama menemani adiknya bermain-main di luar atau kadangkala membawa mereka ke kedai? Saban hari aku pasti menangis kerana dipukul olehnya. Ada sahaja olahku yang tidak digemarinya.
![]() |
| Ironinya sebeginilah apa yang ku rasakan. |


No comments:
Post a Comment