counter

Monday, 21 October 2013

Kenangan Semalam


Mengimbau kenangan semalam saat keberangkatan pulang ke medan pencarian ilmu setelah cuti sambutan Raya Aidiladha berakhir. Sepanjang perjalanan hanya curahan air hujan yang menemani. Seperti memahami beratnya hati meninggalkan semua kesayanganku di teratak bonda dan ayahanda. Mungkin betullah apabila hujan itu sering disamakan dengan kesedihan, kedukaan, kelukaan seseorang yang termasuk juga aku. Tergiang-giang lagu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, Hujan. 
.
Maka bertambah-tambahlah kesedihanku mengenangkan insan-insan di rumah. Ku rasa hujan menambah lagi kedinginan air-cond di dalam bas. Menggigil jadinya kerana menahan kesejukan. Saat itu mulalah teringatkan bantal dan selimutku. Seronok rasanya jika saat-saat ini berada di rumah. Boleh berselubung di dalam selimut di alasi pula katil empukku bersama bantal kesayanganku. Namun itu semua angan-anganku saja. Realitinya aku harus pulang!. Menyambung semula pengajianku dalam proses mencari setitis ilmu.     
Titisan hujan dibumi Bentong
  Suasana sepi di dalam bas membuatkan aku lebih berminat melontar pandangan jauh ke luar jendela. Memerhatikan rintik-rintik hujan yang turun. Damai perasaanku kala itu. Kenangan lama bergulir di ruang ingatanku. Kenangan beberapa tahun dahulu ketika aku masih dibangku sekolah rendah. Hujan merupakan kegemaranku dan sahabat-sahabatku. Pantang bunyi guruh dilangit ditambah perubahan cuaca, kami sekumpulan sudah pun bersiap sedia menanti di luar.Menikmati angin yang kencang dan suasana yang sejuk. Turun sahaja hujan kami melonjak-lonjak kegembiraan. Seronoknya masa itu. Berlari-lari kami ke sana ke mari di dalam hujan lebat. Ada sahaja tempat yang digenangi air hujan pasti menjadi destinasi permainan kami. Tidak terlepas longkang di hadapan rumahku. Untuk pengetahuan, longkang di kawasan perkampunganku bersih dan tidak di mempunyai sampah sarap dan bukannya dijadikan saliran air kotor dari rumah-rumah. Longkang sentiasa dibersihkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jadi tidak menjadi hal untuk kami bermain air hujan di dalam longkang. Kami akan bermain sehinggalah hujan reda. Namun kebiasaanya setelah hujan berhenti pasti kami dimarahi oleh ibu dan ayah kerana bermain hujan dan kadangkala dirotan kerana melanggar larangan mereka. Meskipun selalu dimarahi tetapi ianya tidak menghalang kami bermain hujan kerana hujan adalah kegemaran kami. Tersenyum aku sendirian di dalam bas memikirkan kenakalanku suatu masa dulu. 




No comments:

Post a Comment