counter

Thursday, 12 December 2013

"Denda" Tanda Cikgu Sayang

...sambungan Belajar Hidup Di Luar Kotak Bhg 3
Keesokan harinya sesudah usai solat zohor berjemaah semua pelajar diberi peluang melakukan aktiviti bebas sebelum aktiviti bersambung semula jam 2 petang. Seperti yang di arahkan cikguku, aku terpaksa menunggu di surau terlebih dahulu menanti "hukuman" kerana kesalahan pergi ke tandas seorang diri. Gementar perasaanku tika itu. Setelah semua pelajar beredar, aku diminta duduk di hadapan cikguku.


 "Awak tahu kesalahan awak?",soal cikgu.
"Tahu cikgu",balasku
"Awak tahu tak tindakan awak pergi ke tandas seorang diri tanpa berteman adalah bahaya? dan jika terjadi sesuatu perkara buruk seperti terjatuh dalam bilik air atau apa-apa macam mana?"
Aku hanya mampu menundukkan muka kerana aku sedar kesalahanku.
"Saya tahu,awak tak sanggup nak kejutkan rakan awak, tapi awak perlu memikirkan keselamatan, itu yang penting. Di sini kamu semua adalah tanggungjawab saya dan cikgu-cikgu lain. Jika terjadi sesuatu yang tidak diingini siapa yang ingin menjawap kepada ibu dan bapa kamu semua?", tambah cikgu lagi. Setelah hampir sepuluh minit aku dileteri kerana "keberanian" melampauku akhirnya hukuman dijatuhkan. Aku disuruh menulis ayat "Saya berjanji dan berikrar akan mendengar serta mematuhi segala arahan yang diberikan sepanjang perkhemahan ini" sebanyak 250 kali dan tugasan ini perlu dihantar sebelum berakhirnya kem. Tanpa membantah aku akur dengan hukuman yang diberikan. Setiap kali ada masa senggang aku pasti akan menyiapkan tugasan tersebut. Alhamdulillah berkat ketekunan aku berjaya menyiapkannya juga. 
 Sewaktu menyerahkan tugasan, cikguku telah menyatakan sesuatu kepadaku. Katanya "Cikgu denda awak bukan sebab cikgu benci, tapi cikgu sayang. Denda ni tanda ingatan cikgu pada awak supaya awak sentiasa berfikir sebelum mengambil sesuatu tindakan. Peraturan yang ditetapkan pasti ada sebabnya. itulah pentingnya mematuhi arahan dan peraturan. Dalam setiap apa yang kita lakukan, semuanya ada peraturan. Gunanya agar kita tak tersasar jauh dari landasan kehidupan dan yang paling penting landasan agama. Walaupun kesilapan yang awak lakukan tidaklah sebesar mana namun cikgu perlu perbetulkannya dari awal kerana cikgu takut nanti ianya menjadi kebiasaan dan akhirnya awak sukar dibentuk."
Cikgu oh cikgu. Terima kasih atas nasihatmu dulu. Alhamdulillah sehingga kini aku masih berada di landasan yang betul. Mungkin pernah beberapa kali aku hampir saja tergelincir kerana terlalu mengikut darah muda namun kerana nasihat cikgi dulu bahawa "setiap peraturan yang ditetapkan pasti ada sebabnya" membuatku kembali berfikir semula akan baik buruknya tindakanku. 

2 comments:

  1. Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jemput ke blog saya pula ya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. Waalaikummussalam..Terima kasih juga..Insya Allah saya juga akan ke blog saudara..

    ReplyDelete