Aku sebenarnya seorang yang aktif dahulu. Namun semenjak usia semakin meningkat aku jadi malu untuk bersukan tambahan pula ketika itu aku sudah memasuki sekolah berasrama. Namun kadangkala aku kepingin juga untuk melakukan semula aktiviti zaman kanak-kanak dan remajaku. Dahulu aku bukanlah seorang yang reti duduk diam. Pasti ada sahaja aktiviti yang aku dan rakan-rakan lakukan. Pergi memancinglah, mandi sungailah, masuk hutan cari buah rotan, main polis sentri, main buaya-buaya, main tuju selipar, main tuju tin, main guli dan banyak lagi. Memang hari-hariku dipenuhi dengan aktiviti sebegitu. Walaupun demam aku tetap keluar bermain.
Memandangkan aku telah lama tidak bersukan dan melakukan aktiviti lasak jadi aku mengambil keputusan untuk menyertai aktiviti mendaki Bukit Raka anjuran sekolah. Aku tidak ingat ianya anjuran kelab apa. Yelah sudah hampir 5 tahun meninggalkan kenangan itu. Seperti biasa sehari sebelum mendaki kami diberi keterangan terlebih dahulu mengenai perjalanan aktiviti serta langkah-langkah keselamatan oleh pihak bomba. Esoknya setelah bersarapan kami bertolak ke tempat pendakian. Sebelum mendaki kami diminta berkumpul dahulu disebuah sekolah yang berhampiran dengan tempat pendakian. Sekali lagi kami diberi peringatan dan sebagainya serta melakukan aktiviti memanaskan badan. Selepas itu, pendakian bermula. Aku yang tersangat teruja memilih duduk di barisan hadapan bersama rakan-rakan yang lain. Awal minit-minit pertama kami hanya melalui jalan yang landai tetapi tempoh perjalanannya agak jauh kerana kami terpaksa melalui kebun dan ladang getah terlebih dahulu. Setibanya di kaki bukit kami diberi rehat sambil menunggu rakan-rakan yang lain.
Hampir sepuluh minit berehat kami mula mendaki. Sungguh mencabar kerana bukitnya berbentuk 90 darjah. Kekuatan kaki sangatlah diperlukan. Sepanjang perjalanan kami terpaksa menempuh kawasan yang sangat curam, melalui pokok yang tumbang, kawasan berbatu dan licin dan banyak lagi dugaannya. Aku masih menjadi orang-orang yang berada di hadapan meninggalkan rakan-rakan yang lain. namun lama-kelamaan ada rakan yang memotong kami. Semuanya berlumba-lumba hendak menjadi yang pertama sampai di puncak. Alhamdulillah aku juga berjaya masuk senarai 10 orang terawal tiba meskipun bukanlah yang pertama. Seronok sangat bila tiba di puncak. Hilang segala kepenatan. Takjub melihat kebesaran dan keesaan Allah. Puas. Sungguh aku puas. Tapi kami tidak dapat berlama-lama di atas puncak kerana hari mulai mendung. Setelah bergambar kami beransur meninggalkan puncak bukit. Mujurlah setelah tiba dikaki bukit hujan mulai turun. Dan kami semua kebasahan. Sampai sahaja di asrama kami menyucikan diri dan menunaikan solat dan terus merebahkan diri. Esoknya mulalah tersa sengal-sengal badan, kaki terutama sekali. Walaupun penat aku tetap puas.




No comments:
Post a Comment