counter

Sunday 22 December 2013

Dua kehilangan

Khamis yang lalu sewaktu dalam perjalanan ke kelas aku mendapat panggilan telefon dari kakakku mengkhabarkan tentang kepulangan bapa saudaraku ke sisi pencipta. Sedih memang sedih namun aku lebih sedih melihat penderitaannya melawan penyakitnya. Keesokkannya pula sekali lagi aku menerima panggilan telefon dari kakakku juga yang menyatakan seorang jiranku pula yang meninggal kerana sakit tua. Lepas satu-satu insan yang aku kenali pulang dijemput Iĺahi. Terasa masa pantas berlari. Aku yang dulu masih kanak-kanak kini sudah pun meniti usia remaja, malah di akhir usia remaja. Jadi pantas sahaja jika ibu bapa juga kini sudah menginjak kepada usia tua. Makin lama semakin tua dan semakin juga menghampiri saat kematian. Begitulah aturan kehidupan setiap makhluk yang diciptakan.

Ku lihat mereka

Masih aku ingat kata-kata Imam Muda Asyraf supaya jadikan setiap perkara yang berlaku disekeliling kita sebagai ilmu. Perkara yang elok jadikan teladan dan yang tidak elok jadikan sempadan. Oleh itu, sepanjang perjalanan pulang ke kampung halaman aku memerhati sekeliling. Di dalam gerabak aku lihat sepasang suami isteri sabar melayan karenah 4 orang cahaya mata milik mereka. Meski si abang-abang seronok berkejaran dansi adik-adik pula hanya ingin di dukung namun ku lihat mereka masih tersenyum. Tidak sedikit pun mereka memarahi anak-anak mereka. Cuma sesekali merreka menasihati si abang supaya lebih berhati dengan sugguh berhemah. Si suami juga tidak lepas tangan sebaliknya turut mendukung anak yang paling kecil yang memang tidak mahu duduk. Aku kagum melihat pasangan tersebut. Begitu amanah menjaga amanah yang dipertanggungjawabkan. Ya sungguh aku tidak tahu bagaimana kehidupan mereka dirumah tetapi sekurang-kurangnya mereka tidak seperti sesetengah yang lain yang begitu mudah mencampakkan zuriat mereka sendiri.

Thursday 19 December 2013

Mereka..


Menitis manik-manik jernih dari kolam mata ini tatkala menonton iklan ini. Iklan hari raya yang dikeluarkan oleh syarikat BERNAS pada tahun 2012 yang sudah. Tidak tahu mengapa, namun kontentnya sungguh menyentuh perasaan ini. Ya, aku turut merasa peritnya kehilangan. Meskipun keperitan yang aku rasakan tidak sehebat apa yang ditanggung mereka. Mereka sedari kecil tidak punya keluarga, tidak punya ibu serta bapa, walhal tidak punya sesiapa. Hanya menumpang belas dan ehsan orang lain.namun ketabahan mereka sungguh mengagumkan Meski tidak berupaya melihat, meski tak punya suara untuk berkata namun kegigihan mereka untuk turut sama pulang ke kampung itulah yang dibanggakan. Jika lihat pada diri ini, Allah sudah kurniakan segala-galanya, punya ibubapa, punya keluarga, sihat tubuh badan, tiada kecacatan anggota namun selalu sahaja tidak merasa puas dengan apa yang dimiliki. Sering sahaja merunggut tentang banyak perkara. Selalu mengharapkan itu dan ini. Sering juga berputus asa saat menemui kegagalan dan jalan buntu.  

Tuesday 17 December 2013

Terjebak dalam Kancah Percintaan


Terkesan aku tatkala membaca bait-bait kata ini. Dulu aku tertanya-tanya mengapa kita tidak dibenarkan bercinta sedangkan tidak melakukan apa-apa. Namun aku sedar, setiap laranganNya mengandungi seribu hikmah. Hari ini aku meilhat hikmahnya. Alhamdulillah meski pernah terjebak dalam dunia percintaan namun aku masih berjaya membahagikan antara cita dan cinta. Hari ini aku mampu tersenyum lega meski tiada cinta. Aku mengerti bahawa sebelum mendapatkan cinta manusia aku perlu mencari cinta Ilahi terlebih dahulu. Menyorot semula pada zaman kenakalanku seakan mahu ketawa mengenang kejahilan diri. Itupun buat-buat berani sahaja kerana jika diketahui oleh abangku sudah pasti teruk aku dikerjakannya dan sudah pasti telefonku diambil semula. Mujurlah perasaan takut itu menyebabkan hubunganku dengan dia tidak lama. Hanya dua bulan. Selepas itu aku fokus pada PMR. 

Pengalaman Mendaki Bukit Raka






Aku sebenarnya seorang yang aktif dahulu. Namun semenjak usia semakin meningkat aku jadi malu untuk bersukan tambahan pula ketika itu aku sudah memasuki sekolah berasrama. Namun kadangkala aku kepingin juga untuk melakukan semula aktiviti zaman kanak-kanak dan remajaku. Dahulu aku bukanlah seorang yang reti duduk diam. Pasti ada sahaja aktiviti yang aku dan rakan-rakan lakukan. Pergi memancinglah, mandi sungailah, masuk hutan cari buah rotan, main polis sentri, main buaya-buaya, main tuju selipar, main tuju tin, main guli dan banyak lagi. Memang hari-hariku dipenuhi dengan aktiviti sebegitu. Walaupun demam aku tetap keluar bermain. 
Memandangkan aku telah lama tidak bersukan dan melakukan aktiviti lasak jadi aku mengambil keputusan untuk menyertai aktiviti mendaki Bukit Raka anjuran sekolah. Aku tidak ingat ianya anjuran kelab apa. Yelah sudah hampir 5 tahun meninggalkan kenangan itu. Seperti biasa sehari sebelum mendaki kami diberi keterangan terlebih dahulu mengenai perjalanan aktiviti serta langkah-langkah keselamatan oleh pihak bomba. Esoknya setelah bersarapan kami bertolak ke tempat pendakian. Sebelum mendaki kami diminta berkumpul dahulu disebuah sekolah yang berhampiran dengan tempat pendakian. Sekali lagi kami diberi peringatan dan sebagainya serta melakukan aktiviti memanaskan badan. Selepas itu, pendakian bermula. Aku yang tersangat teruja memilih duduk di barisan hadapan bersama rakan-rakan yang lain. Awal minit-minit pertama kami hanya melalui jalan yang landai tetapi tempoh perjalanannya agak jauh kerana kami terpaksa melalui kebun dan ladang getah terlebih dahulu. Setibanya di kaki bukit kami diberi rehat sambil menunggu rakan-rakan yang lain. 
Hampir sepuluh minit berehat kami mula mendaki. Sungguh mencabar kerana bukitnya berbentuk 90 darjah. Kekuatan kaki sangatlah diperlukan. Sepanjang perjalanan kami terpaksa menempuh kawasan yang sangat curam, melalui pokok yang tumbang, kawasan berbatu dan licin dan banyak lagi dugaannya. Aku masih menjadi orang-orang yang berada di hadapan meninggalkan rakan-rakan yang lain. namun lama-kelamaan ada rakan yang memotong kami. Semuanya berlumba-lumba hendak menjadi yang pertama sampai di puncak. Alhamdulillah aku juga berjaya masuk senarai 10 orang terawal tiba meskipun bukanlah yang pertama. Seronok sangat bila tiba di puncak. Hilang segala kepenatan. Takjub melihat kebesaran dan keesaan Allah. Puas. Sungguh aku puas. Tapi kami tidak dapat berlama-lama di atas puncak kerana hari mulai mendung. Setelah bergambar kami beransur meninggalkan puncak bukit. Mujurlah setelah tiba dikaki bukit hujan mulai turun. Dan kami semua kebasahan. Sampai sahaja di asrama kami menyucikan diri dan menunaikan solat dan terus merebahkan diri. Esoknya mulalah tersa sengal-sengal badan, kaki terutama sekali. Walaupun penat aku tetap puas. 

Aku seorang anak gadis..:)

Sperti kebiasaan jika hendak membeli makanan tengahari mahupun makan malam aku selalu kehilangan idea. Sudah tidak tahu apa yang ingin dimakan. Kebanyakannya bukanlah dari seleraku. Aku bukanlah dari golongan orang yang memilih makanan tetapi aku sudah bosan dengan menu yang sama setiap hari. Semua menu yang ada semuanya telah aku cuba. Alangkah seronoknya jika aku bisa masak sendiri. Namun keadaan membataskan semua itu. Aku rela jika hanya makan ikan kering atau telur goreng beserta kicap. Itu lebih menyelerakan. Aku sebenarnya suka memasak walaupun masakan aku tidaklah sesedap mana. Namun minat mengatasi segala-galanya. Seingatku sejak dari kecil lagi aku dan rakan-rakan telah main masak-masak. Kami tidak bermain masak-masak secara olok-olok sebaliknya kami masak betul-betul menggunakan api. Selalunya beras, bawang dan cili dirumahlah yang menjadi mangsa. Selain itu sos atau kicap yang sudah habis, ubat-ubatan yang telah habis tempohnya pun menjadi bahan masakan kami.Tapi tidaklah tahap kami memakannya. Sekadar suka-suka. Oleh sebab itulah kecil-kecil dulu aku mempunyai banyak parut kesan terkena api. Itulah kegemaran aku. Kini bila sudah besar aku berpeluang memasak untuk keluarga. Seronok bila masakan habis dimakan. Bahagianya Tuhan sahajalah yang tahu. Ya kini aku menyedari bahawa aku bukan lagi anak kecil yang tahu main masak-masak sahaja tetapi aku kini seorang anak gadis yang berupaya menyediakan masakan untuk keluarga. 

Monday 16 December 2013

Titik-titik pendamaian

Sudah menjadi fitrah setiap makhluk ciptaan Allah pasti mengalami perubahan tidak kira dari segi luaran mahupun dalaman. Dan manusia juga sering inginkan perubahan. Menipu jika ada yang berkata mereka tidak berubah, tidak inginkan perubahan dan sebagainya. Sedangkan perubahan boleh boleh berlaku ke arah positif dan juga negatif. Jika dilihat perubahan luaran seperti fizikal misalnya, setiap manusia atau semua benda tidak akan kekal dengan sifat asalnya ata rupa bentuk asalnya. Jika dahulu kita kanak-kanak mungkin kini sudah menjadi dewasa dan begitulah seterusnya.
  Semakin bertambah usia semakin banyak perubahan yang berlaku cuma yang membezakan cara perubahan itu terjadi atas dasar apa. Mungkin sesetengah orang atas keinsafannya, ada juga kerana melihat persekitarannya dan pelbagai macam alasan lagi. Begitu juga dengan abangku. Semakin aku menginjak remaja dan dia menginjak dewasa semakin banyak perubahan yang berlaku. Sikap pembegis, panas baran, suka marah dan sebagainya seakan sedikit demi sedikit terpadam dari dalam dirinya.

Jika dahulu untuk senyum padanya pun aku takut kini untuk bergurau dengannya bukanlah satu masalah lagi. Jika dahulu untuk memberinya sesuatu pun aku takut kini aku sudah mampu meminta darinya. Apa yang aku minta pasti dipenuhinya cuma kadang kala memerlukan sedikit masa. Dia orang pertama yang menghadiahkan aku telefon bimbit sempena hari jadiku (ketika di tingkatan 1),  dia orang pertama yang hadiahkan aku sebuah kamera, dia juga orang yang selalu memberi hadiah sewaktu aku lulus cemerlang peperiksaan, dia yang selalu menjemputku di Pekeliling jika aku ketiadaan bas dan banyak lagi. 


Bukan nilai yang menjadi ukuran tetapi keikhlasan dan ingatannya terhadapku menjadi kayu ukurnya.Kini aku sedar, dia adalah abang yang penyayang. Mungkin wataknya dulu hanya untuk memastikan aku tidak hanyut di usia remaja. Dia ingin mendidikku menghormatinya sejak dari usia kanak-kanak lagi. Ya mungkin caranya sedikit salah namun aku tetap bersyukur kerana sikapnya itulah yang membuatkan aku takut untuk bercinta dan melakukan sesuatu yang diluar batasan. Terima kasih abang kerana melindungi aku dulu kini dan selamanya. Insya Allah.