Setiap perhubungan sudah pasti ada masa pasang dan surutnya. Begitu juga hubungan persahabatan. Pasti ada saatnya gembira, bahagia, merajuk dan terasa sesama sendiri. Tambahan pula jika bilangannya adalah ganjil. Jika bertiga pasti ada seorang yang merasakan dirinya tersisih lalu menyisihkan diri. Perasaan seumpama inilah yang akhirnya meretakkan perhubungan yang terbina. Meskipun tiada niat untuk menyisih namun kadangkala ianya terjadi juga. Jika masih berada dibangku sekolah menengah, perkara sebegini sudah pastinya menimbulkan pergaduhan dan akhirnya merosakkan hubungan.
Pernah suatu ketika, aku berada di tingkatan tiga ketika itu. Aku mempunyai lima orang rakan baik ketika itu. Kemana saja pasti bersama, ke kantin, ke kelas, ke bengkel, ke surau, keluar bersiar-siar malahan inilah kumpulan belajar kami. Hubungan mula retak apabila keputusan PMR diumumkan salah seorang dari kami mendapat keputusan yang kurang memuaskan. Ini menyebabkan dia memilih untuk mengambil jurusan katering sahaja. Manakala kami berempat memilih untuk menyambung dijurusan sains tulen. Ketika itu sebuah sekolah untuk pembelajaran aliran sains tulen siap dibina yang dikenali sebagai Pusat Pembelajaran Sains (PPS). Tambahan pula sekolah tersebut adalah khas untuk anak peneroka yang tinggal di FELDA serta berkelayakan mengambil jurusan sains tulen. Oleh itu, Pejabat Pelajaran Daerah mengarahkan semua pelajar aliran sains di semua sekolah di Felda sekitar Bentong berpindah ke sekolah tersebut. Ini termasuk jugalah kami berempat. Kerana ingin mengejar cita-cita di dalam aliran sains kami mengambil keputusan untuk berpindah dan terpaksa juga tinggal di asrama. Keputusan kami telah menyebabkan kawan kami yang seorang lagi tertinggal dan di situlah berakhirnya hubungan kami kerana dia memilih untuk menjauhi kami semua. Bukannya kami tidak pernah ajaknya keluar seperti sebelum ini namun ditolak kerana dia beranggapan bahawa kami tidak setaraf dan menganggap kami budak pandai tidak layak berkawan dengan orang bodoh sepertinya. Pada awal kemasukan, kami berempat di tempatkan di dalam dorm yang sama dan kelas yang sama.
Hubungan kami mula goyah apabila berlaku rombakan bilik. Kami berempat berpecah dan ini menyebabkan kami lebih rapat dengan ahli dorm baru. Satu hari asrama kami diserang histeria dan salah seorang dari kami turut terkena histeria. Puas berubata akhirnya ayahnya membuat keputusan mengeluarkannya dari sekolah tersebut dan kembali semula ke sekolah lama. Jadi tinggallah kami bertiga. Antara kami bertiga aku lebih rapat dengan seorang lagi kerana di dalam kelas kami duduk bersama. Hal ini menyebabkan rakan yang seorang lagi merasa tersisih dan akhirnya membawa haluannya sendiri. Dan kini aku juga sendiri kerana semua rakan-rakanku berada di IPTA yang berbeza denganku. Hubungan yang dulunya sangat rapat akhirnya berkubur begitu sahaja. Yang tinggal hanyalah kenangan bersama mereka. Pengalamanlah yang telah mendewasakan dn mematangkan aku. Kini aku lebih terbuka dan seboleh-bolehnya hubungan persahabatanku di sini ingin ku abadikan sampai bila-bila.





No comments:
Post a Comment