Alhamdulillah hari ini aku berkesempatan menyertai program Edufest. Maha Suci Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, Segala Puji Hanya Untuk Allah. Akhirnya Allah memudahkan jalan untukku mendengar sendiri ceramah Ustaz Haslin secara langsung. Beliau merupakan salah seorang penceramah yang aku minati. Bukan sekadar ilmunya tetapi aku tertarik dengan gaya penyampaiannya. Mungkin sesetengah pihak tidak dapat menerima penyampaiannya yang kadang kala sedikit kasar namun tidak bagiku. Aku menerimanya kerana aku tahu setiap orang punya cara berbeza. Sekali sekala menghadiri program ilmu sebegitu membuatkan hatiku sebak. Sungguh, sudah lama aku tidak menghadiri kuliah-kuliah agama sebegini. Peluang sebenarnya selalu ada tetapi kerana kejahilan diri aku sering memberi alasan. Alasan yang tidak pernah sudah. Kononnya sering sibuk dengan urusan dunia. Sungguh, aku dahagakan pengisian rohaniku. Sudah lama spiritual ini ketandusan simbahan ilmu agama.
Sebenarnya dari kecil lagi aku didedahkan dengan kuliah-kuliah agama sebegini oleh ibubapaku sehingga tertidur aku diribaan bapaku. Bila sudah besar sedikit aku dan rakan-rakan sering ke surau atau masjid-masjid sekitar yang mengadakan ceramah-ceramah agama hanya dengan berjalan kaki. Bila masuk asrama tiap-tiap minggu jiwa ini diisi dengan santapan rohani. Namun ianya tidak berterusan sehinggalah aku memasuki tingkatan 6 dan sehinggalah kini. Alhamdulillah, Allah masih membuka peluang aku melakukan perubahan. Kembali kepada fitrah agama. Semoga aku dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk terus istiqomah kepadaNya. Aku tidak mahu menjadi punca ibubapa dan abang-abangku terheret ke neraka. Nauzubillah.




No comments:
Post a Comment