counter

Friday, 13 December 2013

Pulangnya Seorang Pendidik

Seperti kebiasaanku, setelah berasa kepenatan menyudahkan tugasan aku akan melepaskan sedikit kepenatan dengan melewati laman sosial muka bukuku. Melihat perkembangan terbaru rakan-rakan atau membaca entri-entri menarik yang dikongsi. Sedang asyik membaca entri, seorang sahabat baikku menyapaku dan memberikan perkhabaran tentang guru sewaktu kami tadika dahulu sudah kembali kepada Sang Pencipta. Meskipun sedih dengan berita ini namun di hati tetap gembira kerana pulangnya guruku itu pada penghulu segala hari. Alangkah bertuahnya guruku itu.


Imej
Ertinya; “  Seorang muslim yang meninggal dunia pada hari jumat  atau  malamnya,   Allah akan menghindarkannya dari azab kubur”. (HR Ahmad dan Tarmizi)  

Kenangan 15 tahun dahulu ketika aku masih pelajar tadika bergulir diingatan. Terasa masih baru aku tinggalkan zaman aku belajar membaca, menulis dan mengira. Masih terasa kasih sayang yang cikgu curahkan saat kami tidak mengerti apa-apa. Diajar dan dididiknya kami tanpa jemu. Tidak pernah sekali kami dimarahi cuma teguran lembut jika kami melakukan kesalahan. Biarpun hanya seketika belajar bersamanya namun jasanya cukup besar. Semoga segala ilmu dan kebaikan yang pernah dicurahkan kepada pelajar-pelajarnya menjadi cahayanya di sana. Al- Fatihah. 

Thursday, 12 December 2013

"Denda" Tanda Cikgu Sayang

...sambungan Belajar Hidup Di Luar Kotak Bhg 3
Keesokan harinya sesudah usai solat zohor berjemaah semua pelajar diberi peluang melakukan aktiviti bebas sebelum aktiviti bersambung semula jam 2 petang. Seperti yang di arahkan cikguku, aku terpaksa menunggu di surau terlebih dahulu menanti "hukuman" kerana kesalahan pergi ke tandas seorang diri. Gementar perasaanku tika itu. Setelah semua pelajar beredar, aku diminta duduk di hadapan cikguku.


 "Awak tahu kesalahan awak?",soal cikgu.
"Tahu cikgu",balasku
"Awak tahu tak tindakan awak pergi ke tandas seorang diri tanpa berteman adalah bahaya? dan jika terjadi sesuatu perkara buruk seperti terjatuh dalam bilik air atau apa-apa macam mana?"
Aku hanya mampu menundukkan muka kerana aku sedar kesalahanku.
"Saya tahu,awak tak sanggup nak kejutkan rakan awak, tapi awak perlu memikirkan keselamatan, itu yang penting. Di sini kamu semua adalah tanggungjawab saya dan cikgu-cikgu lain. Jika terjadi sesuatu yang tidak diingini siapa yang ingin menjawap kepada ibu dan bapa kamu semua?", tambah cikgu lagi. Setelah hampir sepuluh minit aku dileteri kerana "keberanian" melampauku akhirnya hukuman dijatuhkan. Aku disuruh menulis ayat "Saya berjanji dan berikrar akan mendengar serta mematuhi segala arahan yang diberikan sepanjang perkhemahan ini" sebanyak 250 kali dan tugasan ini perlu dihantar sebelum berakhirnya kem. Tanpa membantah aku akur dengan hukuman yang diberikan. Setiap kali ada masa senggang aku pasti akan menyiapkan tugasan tersebut. Alhamdulillah berkat ketekunan aku berjaya menyiapkannya juga. 
 Sewaktu menyerahkan tugasan, cikguku telah menyatakan sesuatu kepadaku. Katanya "Cikgu denda awak bukan sebab cikgu benci, tapi cikgu sayang. Denda ni tanda ingatan cikgu pada awak supaya awak sentiasa berfikir sebelum mengambil sesuatu tindakan. Peraturan yang ditetapkan pasti ada sebabnya. itulah pentingnya mematuhi arahan dan peraturan. Dalam setiap apa yang kita lakukan, semuanya ada peraturan. Gunanya agar kita tak tersasar jauh dari landasan kehidupan dan yang paling penting landasan agama. Walaupun kesilapan yang awak lakukan tidaklah sebesar mana namun cikgu perlu perbetulkannya dari awal kerana cikgu takut nanti ianya menjadi kebiasaan dan akhirnya awak sukar dibentuk."
Cikgu oh cikgu. Terima kasih atas nasihatmu dulu. Alhamdulillah sehingga kini aku masih berada di landasan yang betul. Mungkin pernah beberapa kali aku hampir saja tergelincir kerana terlalu mengikut darah muda namun kerana nasihat cikgi dulu bahawa "setiap peraturan yang ditetapkan pasti ada sebabnya" membuatku kembali berfikir semula akan baik buruknya tindakanku. 

Tuesday, 10 December 2013

Main "Kawin-Kawin

Cuti hujung minggu pasti ada sahaja undangan majlis perkahwinan. Tambahan pula sekarang adalah musim cuti persekolahan. Suatu berita yang sedikit mengujakan aku adalah salah seorang kawan sewaktu di sekolah rendah turut akan mendirikan rumahtangganya minggu hadapan. Aku turut tumpang gembira. Tidak ku sangka suatu ketika dahulu dia yang menjadi pengantin olok-olok kini akan menjadi pengantin yang sebenarnya. Aku juga tidak terkecuali turut pernah bermain "kawin-kawin". Biasanya kami akan di hias oleh abang dan kakak yang lebih besar kemudian akan disandingkan. Bunga-bunga kertas yang di tanam di halaman rumahlah yang selalunya menjadi "mangsa" kami untuk dijadikan hiasan bakal pengantin olok-olok. Natijahnya pasti kami akan dimarahi kerana memetik bunga-bunga yang di tanam.Walaupun seringkali dimarahi dan dinasihati supaya tidak memetik bunga-bungaan yang ditanam, kami tidak pernah serik. Bagi mendapatkan kesan solekan yang lebih menarik kadang kala bedak, gincu, dan celak ibulah yang kami gunakan. Seronok sungguh tika itu.

Dugaan Dari Pencipta


"Hidup Adalah Ujian"
Aku percaya itu. Namun kekadang ujian yang hadir seakan mengugat kesabaran dan kekuatanku. Hanya keyakinan bahawa "Allah tidak akan menguji jika ujian itu diluar batasan kemampuan seseorang" yang menjadi suntikan motivasi untuk aku terus berdiri kuat. Gelojak hati dan perasaan hanya Allah yang tahu. Ujian bukanlah masalah tetapi tarbiyah dari Allah dan juga tanda Allah sayangkan diri ini. Sebenarnya inilah yang telah mendewaskan dan mematangkan akal fikiranku agar sentiasa berfikir dan merenung terlebih dahulu buruk baik sesuatu tindakan. Ujian itulah yang menguatkan aku. Suatu peristiwa tatkala aku baru berusia 7 tahun. Ketika itu hari pertama cuti penggal pertama. Takdir Allah menentukan segala-galanya. Aku diuji dengan sebuah kemalangan yang telah menyebabkan aku terpaksa dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dan terpaksa melakukan pembedahan. Meskipun kecederaan yang aku alami parah tambahan pula aku turut kehilangan banyak darah namun tiada sedikitpun  kesakitan yang aku rasakan. Allah Maha Besar. Itulah bukti Allah menguji hambanya berdasarkan kemampuannya. Mungkin ketika itu aku masih kecil oleh itu Allah meringankan ujiannya ke atas ku. Walaupun tanda daripada kemalangan itu masih ada sehingga sekarang namun ianya tidak sedikitpun menjadi masalah mahupun barah kepadaku malah aku bersyukur kerana dengan "tanda" ini aku sedar bahawa segala-galanya adalah hak milik Allah Pemilik dan Penguasa Sekalian Alam. Bila-bila masa sahaja ianya akan ditarik. 





Friday, 29 November 2013

Raya Dulu Raya Sekarang

Hari ini seawal jam 5.30 pagi  lagi aku sudah bangun. Turut serta membantu kakak-kakakku membuat persiapan akhir sebelum kami bersama-sama menunaikan solat Raya Aidiladha. Juadah kami serba ringkas kerana  hari ini kami sekeluarga akan ke kampung kerana ibubapaku ada melakukan ibadah korban. Seusai segala urusan, berkumandang takbir raya di masjid yang berdekatan. Kali ini aku tidak berpeluang menunaikan solat sunat aidiladha. Hampir jam 11 pagi barulah kami mengadakan sesi bermaaf-maafan kerana sebelumnya ada saja perkara yang mengahalang. Seperti biasa, di pagi raya suasananya sedikit sebak tatkala sesi bermaaf-maafan. Aku yang sememangnya sensetif tidak ketinggalan menitiskan air mata. Memohon keampuan setulus hati dari ayah dan bonda selama kehidupanku di dunia. Setelah selesai sesi bermaaf-maafan masing-masing membuat aktiviti sendiri. aku memilih menunggu tetamu di rumah bersama kakakku. Sudah semestinya tetamu yang aku tunggu ialah budak-budak. Seronok melayan keletah mereka beraya. Cuma ada kelainannya berbanding masa aku dahulu. Sesuatu yang paling nyata adalah nilai duit raya yang mereka terima hari ini jauh lebih tinggi. Meskipun begitu, pada pandanganku suasana hari raya pada zamanku lebih seronok dan menarik kerana kami akan berjalan jauh untuk memungut duit raya. Oleh itu, kami mengenali ramai orang dan mereka juga mengetahui kami ini anak siapa. Tapi kanak-kanak zaman sekarang aku lihat hanya berjalan di sekitar rumah dan di kawasan-kawasan terdekat. Tambahan pula kini banyak kes culik jadi mungkin itu salah satu faktor ibu bapa mereka melarang. Pada zamanku semua itu adalah kes terpencil dan hanya berlaku di kawasan bandar. Alhamdulillah Allah menjauhkan kami dari perkara tersebut. 

"Mereka" yang terbuang..

Oren, putih, hitam, dan tidak ketinggalan yang berbelang semuanya ada di kolej ku. Si kecil ligat berlari, bermain dan bergurau senda dengan kembarnya. Biarpun "terbuang" namun hidup mereka ceria.
 Meskipun bersengketa dengan manusia yang tidak sukakan mereka namun hidup tetap diteruskan. Aku juga tidaklah terlalu gemarkan "mereka". Kadang kala kehadiran "mereka" menyebabkan aku marah hanya kerana bergesel-gesel di kakiku dan membuang hajat dimerata-rata tempat. 
Tapi itulah hakikat. "Mereka" tidak ada akal untuk berfikir seperti manusia yang sememangnya "sebaik-baik ciptaan". Tetapi sejauh mana aku menjadikan diri ini sebagai "sebaik-baik ciptaan" sedangkan dengan "mereka"yang tidak punya akal aku jadikan seteru. Walaupun aku tidak pernah sesekali memukul, menendang, mahupun menyepak "mereka" namun layananku hambar. Bukannya aku tidak kasihkan mereka tapi memang tabiatku yang tidak menggemari "mereka".
Meskipun aku tidak menyukainya namun satu masa dahulu aku juga pernah memelihara bangsa "mereka". Ketika itu usianya masih muda. Adikkulah yang mengambilnya di tepi jalan. Kesian katanya. Mulanya memang aku tidak menyenanginya tapi lama-kelamaan "dia" mendapat tempat di hatiku. Keletahnya ada saja yang mencuit hati. Malangnya, "dia" meninggalkan aku saat aku sudah menyenanginya. Sedih melihat cara kematiannya. Menitis airmata ini bila melihat jasadnya kaku dan berlumuran darah. Mungkin sebab itu jugalah kini aku tidak berhasrat mengambil mana-mana kucing untuk dijadikan haiwan peliharaanku. Aku tidak sanggup menghadapi saat kehilangannya. 




Tuesday, 26 November 2013

Pasar Malam dan Aku

Seingatku sudah lama juga aku tidak ke pasar malam. Hari ini, aku berkesempatan berkunjung ke pasar malam bersama rakan-rakanku. Kepergianku bukanlah kerana suka-suka tetapi disebabkan ada barang yang perlu aku beli. Meriahnya pasar malam. Orang ramai berpusu-pusu menyelusuri laluan pasar malam. Pelbagai jenis makanan dan barangan yang dijual. Rambang mataku melihat makanan-makanan yang dijual. memandangkan aku sudah kekenyangan maka keinginan untuk membeli tiada.




Masih aku ingat, ketika aku masih dibangku sekolah rendah aku gemar ke pasar malam setiap hari sabtu di kawasan perumahanku. Kebiasaannya, aku akan pergi bersama rakan-rakan sepermainanku dengan hanya berjalan kaki. Dengan hanya berbekal RM 2 kami akan berjalan kaki ke pasar malam. Bukannya tiada basikal namun basikal tidak mua untuk bilangan kami yang ramai. Jadi untuk berlaku adil maka kami lebih gemar berjalan. Sebenarnya jarak dari rumah ke tapak pasar malam agak jauh namun perjalanan yang jauh tidak terasa kerana kami berjalan beramai-ramai. Ketika berjalan bermacam-macam cerita yang akan keluar dan termasuklah cerita-cerita hantu. Selalunya bila tiba di tempat yang gelap dan dianggap 'keras' kami pasti akan senyap dan berjalan pantas bagi menghilangkan rasa takut. Kelakar rasanya bila memikirkan saat itu. Kadang kala kami berlari-lari kerana takut. Namun itulah kenangan. Sehingga hari ini, bila aku melalui jalan yang dianggap 'keras' pasti aku ketawa sendiri. Bertapa penakutnya kami dahulu. Sekarang, semuanya sudah meningkat dewasa dan mempunyai haluan sendiri jadi hobi seperti kecil-kecil dahulu sudah tidak diteruskan lagi. kami lebih gemar pergi menaiki motosikal dan hanya pergi dengan rakan-rakan sekelas. Sungguh, aku rindu kenangan dulu.