counter

Sunday, 15 December 2013

Kenangan Tersimpan

Tulang Belakangku (Sahabat Dunia Akhirat)
Niat dihati ingin menyiapkan tugasan yang masih berbaki namun kerana ingin mencari satu gambar akhirnya terjumpa pula gambar-gambar lain. Gambar yang ku ingat sudah hilang ekoran kerosakan memori telefon bimbitku dulu. Alhamdulillah rupanya masih ada salinan di dalam komputerku ini. Semuanya gambar-gambar kenangan bersama sahabat handai ketika di sekolah menengah dan tingkatan 6 dahulu. Bila meneliti semula gambar ini ianya mengundang tawa. Terasa lucu dengan lagak dan gaya yang dipamerkan ketika bergambar. pelbagai aksi dan style. Dalam tawa terselit juga rasa sendu kerana jauh disudut hati ini terundang rasa rindu. Rindu sebenarnya untuk sama-sama berkumpul, bersembang, bertukar-tukar cerita dan pendapat, berjimba dan bergembira. Bilakah kiranya masa untuk kami dapat berkumpul semula. Untuk kembali semula ke zaman itu adalah mustahil. Sekurang-kurangnya gambar yang terakam menjadi pengubat rinduku untuk mereka. Antara cebisan kenangan yang masih tersisa.

Antara Sahabat Ketika Tingkatan 5

Sahabat - sahabat baik


Wajah-wajah kesayanganku




Sahabat Yang Paling Akrab





Proses Transisi Diri




Alhamdulillah hari ini aku berkesempatan menyertai program Edufest.  Maha Suci Allah yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui, Segala Puji Hanya Untuk Allah. Akhirnya Allah memudahkan jalan untukku mendengar sendiri ceramah Ustaz Haslin secara langsung. Beliau merupakan salah seorang penceramah yang aku minati. Bukan sekadar ilmunya tetapi aku tertarik dengan gaya penyampaiannya. Mungkin sesetengah pihak tidak dapat menerima penyampaiannya yang kadang kala sedikit kasar namun tidak bagiku. Aku menerimanya kerana aku tahu setiap orang punya cara berbeza. Sekali sekala menghadiri program ilmu sebegitu membuatkan hatiku sebak. Sungguh, sudah lama aku tidak menghadiri kuliah-kuliah agama sebegini. Peluang sebenarnya selalu ada tetapi kerana kejahilan diri aku sering memberi alasan. Alasan yang tidak pernah sudah. Kononnya sering sibuk dengan urusan dunia. Sungguh, aku dahagakan pengisian rohaniku. Sudah lama spiritual ini ketandusan simbahan ilmu agama. 

Sebenarnya dari kecil lagi aku didedahkan dengan kuliah-kuliah agama sebegini oleh ibubapaku sehingga tertidur aku diribaan bapaku. Bila sudah besar sedikit aku dan rakan-rakan sering ke surau atau masjid-masjid sekitar yang mengadakan ceramah-ceramah agama hanya dengan berjalan kaki. Bila masuk asrama tiap-tiap minggu jiwa ini diisi dengan santapan rohani. Namun ianya tidak berterusan sehinggalah aku memasuki tingkatan 6 dan sehinggalah kini. Alhamdulillah, Allah masih membuka peluang aku melakukan perubahan. Kembali kepada fitrah agama. Semoga aku dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk terus istiqomah kepadaNya. Aku tidak mahu menjadi punca ibubapa dan abang-abangku terheret ke neraka. Nauzubillah. 


Friday, 13 December 2013

Antara Menyisih dan Tersisih


Setiap perhubungan sudah pasti ada masa pasang dan surutnya. Begitu juga hubungan persahabatan. Pasti ada  saatnya gembira, bahagia, merajuk dan terasa sesama sendiri. Tambahan pula jika bilangannya adalah ganjil. Jika bertiga pasti ada seorang yang merasakan dirinya tersisih lalu menyisihkan diri. Perasaan seumpama inilah yang akhirnya meretakkan perhubungan yang terbina. Meskipun tiada niat untuk menyisih namun kadangkala ianya terjadi juga. Jika masih berada dibangku sekolah menengah, perkara sebegini sudah pastinya menimbulkan pergaduhan dan akhirnya merosakkan hubungan.
 Pernah suatu ketika, aku berada di tingkatan tiga ketika itu. Aku mempunyai lima orang rakan baik ketika itu. Kemana saja pasti bersama, ke kantin, ke kelas, ke bengkel, ke surau, keluar bersiar-siar malahan inilah kumpulan belajar kami. Hubungan mula retak apabila keputusan PMR diumumkan salah seorang dari kami mendapat keputusan yang kurang memuaskan. Ini menyebabkan dia memilih untuk mengambil jurusan katering sahaja. Manakala kami berempat memilih untuk menyambung dijurusan sains tulen. Ketika itu sebuah sekolah untuk pembelajaran aliran sains tulen siap dibina yang dikenali sebagai Pusat Pembelajaran Sains (PPS). Tambahan pula sekolah tersebut adalah khas untuk anak peneroka yang tinggal di FELDA serta berkelayakan mengambil jurusan sains tulen. Oleh itu, Pejabat Pelajaran Daerah mengarahkan semua pelajar aliran sains di semua sekolah di Felda sekitar Bentong berpindah ke sekolah tersebut. Ini termasuk jugalah kami berempat. Kerana ingin mengejar cita-cita di dalam aliran sains kami mengambil keputusan untuk berpindah dan terpaksa juga tinggal di asrama. Keputusan kami telah menyebabkan kawan kami yang seorang lagi tertinggal dan di situlah berakhirnya hubungan kami kerana dia memilih untuk menjauhi kami semua. Bukannya kami tidak pernah ajaknya keluar seperti sebelum ini namun ditolak kerana dia beranggapan bahawa kami tidak setaraf dan menganggap kami budak pandai tidak layak berkawan dengan orang bodoh sepertinya. Pada awal kemasukan, kami berempat di tempatkan di dalam dorm yang sama dan kelas yang sama.
 Hubungan kami mula goyah apabila berlaku rombakan bilik. Kami berempat berpecah dan ini menyebabkan kami lebih rapat dengan ahli dorm baru. Satu hari asrama kami diserang histeria dan salah seorang dari kami turut terkena histeria. Puas berubata akhirnya ayahnya membuat keputusan mengeluarkannya dari sekolah tersebut dan kembali semula ke sekolah lama. Jadi tinggallah kami bertiga. Antara kami bertiga aku lebih rapat dengan seorang lagi kerana di dalam kelas kami duduk bersama. Hal ini menyebabkan rakan yang seorang lagi merasa tersisih dan akhirnya membawa haluannya sendiri. Dan kini aku juga sendiri kerana semua rakan-rakanku berada di IPTA yang berbeza denganku. Hubungan yang dulunya sangat rapat akhirnya berkubur begitu sahaja. Yang tinggal hanyalah kenangan bersama mereka. Pengalamanlah yang telah mendewasakan dn mematangkan aku. Kini aku lebih terbuka dan seboleh-bolehnya hubungan persahabatanku di sini ingin ku abadikan sampai bila-bila.



Pulangnya Seorang Pendidik

Seperti kebiasaanku, setelah berasa kepenatan menyudahkan tugasan aku akan melepaskan sedikit kepenatan dengan melewati laman sosial muka bukuku. Melihat perkembangan terbaru rakan-rakan atau membaca entri-entri menarik yang dikongsi. Sedang asyik membaca entri, seorang sahabat baikku menyapaku dan memberikan perkhabaran tentang guru sewaktu kami tadika dahulu sudah kembali kepada Sang Pencipta. Meskipun sedih dengan berita ini namun di hati tetap gembira kerana pulangnya guruku itu pada penghulu segala hari. Alangkah bertuahnya guruku itu.


Imej
Ertinya; “  Seorang muslim yang meninggal dunia pada hari jumat  atau  malamnya,   Allah akan menghindarkannya dari azab kubur”. (HR Ahmad dan Tarmizi)  

Kenangan 15 tahun dahulu ketika aku masih pelajar tadika bergulir diingatan. Terasa masih baru aku tinggalkan zaman aku belajar membaca, menulis dan mengira. Masih terasa kasih sayang yang cikgu curahkan saat kami tidak mengerti apa-apa. Diajar dan dididiknya kami tanpa jemu. Tidak pernah sekali kami dimarahi cuma teguran lembut jika kami melakukan kesalahan. Biarpun hanya seketika belajar bersamanya namun jasanya cukup besar. Semoga segala ilmu dan kebaikan yang pernah dicurahkan kepada pelajar-pelajarnya menjadi cahayanya di sana. Al- Fatihah. 

Thursday, 12 December 2013

"Denda" Tanda Cikgu Sayang

...sambungan Belajar Hidup Di Luar Kotak Bhg 3
Keesokan harinya sesudah usai solat zohor berjemaah semua pelajar diberi peluang melakukan aktiviti bebas sebelum aktiviti bersambung semula jam 2 petang. Seperti yang di arahkan cikguku, aku terpaksa menunggu di surau terlebih dahulu menanti "hukuman" kerana kesalahan pergi ke tandas seorang diri. Gementar perasaanku tika itu. Setelah semua pelajar beredar, aku diminta duduk di hadapan cikguku.


 "Awak tahu kesalahan awak?",soal cikgu.
"Tahu cikgu",balasku
"Awak tahu tak tindakan awak pergi ke tandas seorang diri tanpa berteman adalah bahaya? dan jika terjadi sesuatu perkara buruk seperti terjatuh dalam bilik air atau apa-apa macam mana?"
Aku hanya mampu menundukkan muka kerana aku sedar kesalahanku.
"Saya tahu,awak tak sanggup nak kejutkan rakan awak, tapi awak perlu memikirkan keselamatan, itu yang penting. Di sini kamu semua adalah tanggungjawab saya dan cikgu-cikgu lain. Jika terjadi sesuatu yang tidak diingini siapa yang ingin menjawap kepada ibu dan bapa kamu semua?", tambah cikgu lagi. Setelah hampir sepuluh minit aku dileteri kerana "keberanian" melampauku akhirnya hukuman dijatuhkan. Aku disuruh menulis ayat "Saya berjanji dan berikrar akan mendengar serta mematuhi segala arahan yang diberikan sepanjang perkhemahan ini" sebanyak 250 kali dan tugasan ini perlu dihantar sebelum berakhirnya kem. Tanpa membantah aku akur dengan hukuman yang diberikan. Setiap kali ada masa senggang aku pasti akan menyiapkan tugasan tersebut. Alhamdulillah berkat ketekunan aku berjaya menyiapkannya juga. 
 Sewaktu menyerahkan tugasan, cikguku telah menyatakan sesuatu kepadaku. Katanya "Cikgu denda awak bukan sebab cikgu benci, tapi cikgu sayang. Denda ni tanda ingatan cikgu pada awak supaya awak sentiasa berfikir sebelum mengambil sesuatu tindakan. Peraturan yang ditetapkan pasti ada sebabnya. itulah pentingnya mematuhi arahan dan peraturan. Dalam setiap apa yang kita lakukan, semuanya ada peraturan. Gunanya agar kita tak tersasar jauh dari landasan kehidupan dan yang paling penting landasan agama. Walaupun kesilapan yang awak lakukan tidaklah sebesar mana namun cikgu perlu perbetulkannya dari awal kerana cikgu takut nanti ianya menjadi kebiasaan dan akhirnya awak sukar dibentuk."
Cikgu oh cikgu. Terima kasih atas nasihatmu dulu. Alhamdulillah sehingga kini aku masih berada di landasan yang betul. Mungkin pernah beberapa kali aku hampir saja tergelincir kerana terlalu mengikut darah muda namun kerana nasihat cikgi dulu bahawa "setiap peraturan yang ditetapkan pasti ada sebabnya" membuatku kembali berfikir semula akan baik buruknya tindakanku. 

Tuesday, 10 December 2013

Main "Kawin-Kawin

Cuti hujung minggu pasti ada sahaja undangan majlis perkahwinan. Tambahan pula sekarang adalah musim cuti persekolahan. Suatu berita yang sedikit mengujakan aku adalah salah seorang kawan sewaktu di sekolah rendah turut akan mendirikan rumahtangganya minggu hadapan. Aku turut tumpang gembira. Tidak ku sangka suatu ketika dahulu dia yang menjadi pengantin olok-olok kini akan menjadi pengantin yang sebenarnya. Aku juga tidak terkecuali turut pernah bermain "kawin-kawin". Biasanya kami akan di hias oleh abang dan kakak yang lebih besar kemudian akan disandingkan. Bunga-bunga kertas yang di tanam di halaman rumahlah yang selalunya menjadi "mangsa" kami untuk dijadikan hiasan bakal pengantin olok-olok. Natijahnya pasti kami akan dimarahi kerana memetik bunga-bunga yang di tanam.Walaupun seringkali dimarahi dan dinasihati supaya tidak memetik bunga-bungaan yang ditanam, kami tidak pernah serik. Bagi mendapatkan kesan solekan yang lebih menarik kadang kala bedak, gincu, dan celak ibulah yang kami gunakan. Seronok sungguh tika itu.

Dugaan Dari Pencipta


"Hidup Adalah Ujian"
Aku percaya itu. Namun kekadang ujian yang hadir seakan mengugat kesabaran dan kekuatanku. Hanya keyakinan bahawa "Allah tidak akan menguji jika ujian itu diluar batasan kemampuan seseorang" yang menjadi suntikan motivasi untuk aku terus berdiri kuat. Gelojak hati dan perasaan hanya Allah yang tahu. Ujian bukanlah masalah tetapi tarbiyah dari Allah dan juga tanda Allah sayangkan diri ini. Sebenarnya inilah yang telah mendewaskan dan mematangkan akal fikiranku agar sentiasa berfikir dan merenung terlebih dahulu buruk baik sesuatu tindakan. Ujian itulah yang menguatkan aku. Suatu peristiwa tatkala aku baru berusia 7 tahun. Ketika itu hari pertama cuti penggal pertama. Takdir Allah menentukan segala-galanya. Aku diuji dengan sebuah kemalangan yang telah menyebabkan aku terpaksa dimasukkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur dan terpaksa melakukan pembedahan. Meskipun kecederaan yang aku alami parah tambahan pula aku turut kehilangan banyak darah namun tiada sedikitpun  kesakitan yang aku rasakan. Allah Maha Besar. Itulah bukti Allah menguji hambanya berdasarkan kemampuannya. Mungkin ketika itu aku masih kecil oleh itu Allah meringankan ujiannya ke atas ku. Walaupun tanda daripada kemalangan itu masih ada sehingga sekarang namun ianya tidak sedikitpun menjadi masalah mahupun barah kepadaku malah aku bersyukur kerana dengan "tanda" ini aku sedar bahawa segala-galanya adalah hak milik Allah Pemilik dan Penguasa Sekalian Alam. Bila-bila masa sahaja ianya akan ditarik.