counter

Friday, 15 November 2013

Anugerah dari sebuah kegagalan


Cuti pertengahan semester baru-baru elah memberi kesempatan kepada aku untuk menziarahi saudaraku di Temerloh. seperti kebiasaanya, radio menjadi peneman sepanjang perjalanan kami sekeluarga. Bagi aku, aku lebih gemar melihat permandangan luar. Terasa tenang dan damai dapat melihat keindahan alam yang terbentang di bumi Allah SWT ini. Namun di sebalik keasyikan melihat kehijauan alam sekitar, ada sesuatu yang menarik perhatianku untuk terus mendengar dan menghayati iatu lagu yang sedang dimainkan di radio.

Dari kegagalan
Satu percintaan
Kualami
Penderitaan
Kesengsaraan
Kebatinan

Tapi di sebalik
Semua kepahitan
Tersembunyi
Oh keinsafan
Dan pengertian
Yang amat dalam

Terbukti kegagalan
Bukanlah kehancuran
Dengan anugerah
Nikmat dan hikmat
Kehidupan

Aku pelajari
Mengenali diri
Dan siapa kita
Yang sebenarnya
Di bumi Tuhan
Ho ho 

Lagu nyayian Dato' Shake berkumandang di radio. Aku hayati setiap lirik lagu Anugerah dari Kegagalan ini. Terkesan sesuatu jauh di sudut hati ini. Aku sama juga seperti insan-insan yang lain tidak terlepas dari mengalami kegagalan.  Kegagalan sering dilihat dari perspektif yang negatif sedangkan kejayaan yang tercipta hasil dari kegagalan jauh lebih manis dari kejayaan yang tanpa kegagalan. Namun aku hanya manusia biasa yang tidak terkecuali merasa kecewanya apabila menghadapi suatu kegagalan. Ya Allah sungguh aku selama ini hanya tahu mengeluh dan menyalahkan takdir tika aku diuji oleh kegagalan. Sedangkan, ujian adalah tanda kasih dan sayang Allah terhadap hambanya. Masih aku teringat suatu peristiwa di mana aku tidak berjaya mendapat tempat dibidang pendidikan. Cita-cita aku adalah membahagiakan kedua orang tuaku. Oleh itu, hasrat ibubapaku untuk melihat aku menjadi guru mendorong aku berusaha sedaya upaya merealisasikan impian mereka. Bermula selepas SPM aku memohon melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan, namun jawapannya aku gagal mendapat tempat. Sedih, kecewa dan takut. Itu perasaan yang aku rasa ketika itu. Aku sedih kerana gagal, kecewa kerana tidak berjaya memenuhi impian ibu dan bapaku serta taku aku tidak dapat menjadikan impian mereka sebuah kenyataan. Kesedihan ini tidaklah berpanjangan kerana hasil dorongan dan semangat ibubapaku, sahabat handai dan guru-guru membuatkan aku terus melangkah ke hadapan. Tawaran mengikuti diploma farmasi, kejuruteraan dari beberapa institusi pengajian dan kolej aku terpaksa tolak. Aku memilih untuk mencuba kali kedua iaitu dengan memasuki tingkatan enam. Meskipun mendapat respon negatif dari banyak pihak aku tetap dengan pendirianku. Aku berusaha sedaya upaya bagi memastikan keputusan STPM ku melayakkan aku mengikuti bidang pendidikan. Alhamdulillah keputusanku memberangsangkan namun aku tetap juga gagal mendapat tempat dalam bidang pendidikan. Aku redha, walaupun payah dan perit untuk aku terima. Ya, aku percaya mungkin ada cara lain yang mampu membahagiakan kedua ibubapaku. Insya Allah, aku tetap akan berusaha menjadi anak yang mampu memberi kebahagiaan dan ketenagan kepada mereka di dunia dan juga di akhirat. 

No comments:

Post a Comment