counter

Friday, 29 November 2013

Raya Dulu Raya Sekarang

Hari ini seawal jam 5.30 pagi  lagi aku sudah bangun. Turut serta membantu kakak-kakakku membuat persiapan akhir sebelum kami bersama-sama menunaikan solat Raya Aidiladha. Juadah kami serba ringkas kerana  hari ini kami sekeluarga akan ke kampung kerana ibubapaku ada melakukan ibadah korban. Seusai segala urusan, berkumandang takbir raya di masjid yang berdekatan. Kali ini aku tidak berpeluang menunaikan solat sunat aidiladha. Hampir jam 11 pagi barulah kami mengadakan sesi bermaaf-maafan kerana sebelumnya ada saja perkara yang mengahalang. Seperti biasa, di pagi raya suasananya sedikit sebak tatkala sesi bermaaf-maafan. Aku yang sememangnya sensetif tidak ketinggalan menitiskan air mata. Memohon keampuan setulus hati dari ayah dan bonda selama kehidupanku di dunia. Setelah selesai sesi bermaaf-maafan masing-masing membuat aktiviti sendiri. aku memilih menunggu tetamu di rumah bersama kakakku. Sudah semestinya tetamu yang aku tunggu ialah budak-budak. Seronok melayan keletah mereka beraya. Cuma ada kelainannya berbanding masa aku dahulu. Sesuatu yang paling nyata adalah nilai duit raya yang mereka terima hari ini jauh lebih tinggi. Meskipun begitu, pada pandanganku suasana hari raya pada zamanku lebih seronok dan menarik kerana kami akan berjalan jauh untuk memungut duit raya. Oleh itu, kami mengenali ramai orang dan mereka juga mengetahui kami ini anak siapa. Tapi kanak-kanak zaman sekarang aku lihat hanya berjalan di sekitar rumah dan di kawasan-kawasan terdekat. Tambahan pula kini banyak kes culik jadi mungkin itu salah satu faktor ibu bapa mereka melarang. Pada zamanku semua itu adalah kes terpencil dan hanya berlaku di kawasan bandar. Alhamdulillah Allah menjauhkan kami dari perkara tersebut. 

"Mereka" yang terbuang..

Oren, putih, hitam, dan tidak ketinggalan yang berbelang semuanya ada di kolej ku. Si kecil ligat berlari, bermain dan bergurau senda dengan kembarnya. Biarpun "terbuang" namun hidup mereka ceria.
 Meskipun bersengketa dengan manusia yang tidak sukakan mereka namun hidup tetap diteruskan. Aku juga tidaklah terlalu gemarkan "mereka". Kadang kala kehadiran "mereka" menyebabkan aku marah hanya kerana bergesel-gesel di kakiku dan membuang hajat dimerata-rata tempat. 
Tapi itulah hakikat. "Mereka" tidak ada akal untuk berfikir seperti manusia yang sememangnya "sebaik-baik ciptaan". Tetapi sejauh mana aku menjadikan diri ini sebagai "sebaik-baik ciptaan" sedangkan dengan "mereka"yang tidak punya akal aku jadikan seteru. Walaupun aku tidak pernah sesekali memukul, menendang, mahupun menyepak "mereka" namun layananku hambar. Bukannya aku tidak kasihkan mereka tapi memang tabiatku yang tidak menggemari "mereka".
Meskipun aku tidak menyukainya namun satu masa dahulu aku juga pernah memelihara bangsa "mereka". Ketika itu usianya masih muda. Adikkulah yang mengambilnya di tepi jalan. Kesian katanya. Mulanya memang aku tidak menyenanginya tapi lama-kelamaan "dia" mendapat tempat di hatiku. Keletahnya ada saja yang mencuit hati. Malangnya, "dia" meninggalkan aku saat aku sudah menyenanginya. Sedih melihat cara kematiannya. Menitis airmata ini bila melihat jasadnya kaku dan berlumuran darah. Mungkin sebab itu jugalah kini aku tidak berhasrat mengambil mana-mana kucing untuk dijadikan haiwan peliharaanku. Aku tidak sanggup menghadapi saat kehilangannya. 




Tuesday, 26 November 2013

Pasar Malam dan Aku

Seingatku sudah lama juga aku tidak ke pasar malam. Hari ini, aku berkesempatan berkunjung ke pasar malam bersama rakan-rakanku. Kepergianku bukanlah kerana suka-suka tetapi disebabkan ada barang yang perlu aku beli. Meriahnya pasar malam. Orang ramai berpusu-pusu menyelusuri laluan pasar malam. Pelbagai jenis makanan dan barangan yang dijual. Rambang mataku melihat makanan-makanan yang dijual. memandangkan aku sudah kekenyangan maka keinginan untuk membeli tiada.




Masih aku ingat, ketika aku masih dibangku sekolah rendah aku gemar ke pasar malam setiap hari sabtu di kawasan perumahanku. Kebiasaannya, aku akan pergi bersama rakan-rakan sepermainanku dengan hanya berjalan kaki. Dengan hanya berbekal RM 2 kami akan berjalan kaki ke pasar malam. Bukannya tiada basikal namun basikal tidak mua untuk bilangan kami yang ramai. Jadi untuk berlaku adil maka kami lebih gemar berjalan. Sebenarnya jarak dari rumah ke tapak pasar malam agak jauh namun perjalanan yang jauh tidak terasa kerana kami berjalan beramai-ramai. Ketika berjalan bermacam-macam cerita yang akan keluar dan termasuklah cerita-cerita hantu. Selalunya bila tiba di tempat yang gelap dan dianggap 'keras' kami pasti akan senyap dan berjalan pantas bagi menghilangkan rasa takut. Kelakar rasanya bila memikirkan saat itu. Kadang kala kami berlari-lari kerana takut. Namun itulah kenangan. Sehingga hari ini, bila aku melalui jalan yang dianggap 'keras' pasti aku ketawa sendiri. Bertapa penakutnya kami dahulu. Sekarang, semuanya sudah meningkat dewasa dan mempunyai haluan sendiri jadi hobi seperti kecil-kecil dahulu sudah tidak diteruskan lagi. kami lebih gemar pergi menaiki motosikal dan hanya pergi dengan rakan-rakan sekelas. Sungguh, aku rindu kenangan dulu. 

Thursday, 21 November 2013

Belajar Berdikari..Hidup Di luar Kotak bhg 2

Akibat terlalu banyak air milo yang aku minum, tiba-tiba aku terasa ingin membuang air kecil. Tatkala itu, semua rakan-rakanku telah tidur. Jam ketika itu menunjukkan lebih kurang 1.30 pagi. Serba salah perasaanku ketika itu seperti diluah mati emak, diluah mati bapa. Ingin mengejutkan rakan, aku rasa tidak sampai hati namun ingin pergi seorang diri aku pula yang "segan". Lalu aku memutuskan untuk sambung tidur. Malangnya aku tidak dapat melelapkan mata kerana rasa ingin menunaikan hajat kecil terasa membuak-buak. Aku resah sendiri di dalam khemah. Setiap posisi dirasakan cukup tidak selesa. Kerana sudah tidak dapat menahan aku terpaksa juga melangkahkan kaki dan menggagahkan diri untuk pergi ke tandas setelah cubaan mengejutkan rakanku tidak berjaya. Pesanan cikgu supaya mengejutkan rakan juka ingin ketandas aku tolak ketepi. Aku sudah tidak tahan hendak membuang hajat kecilku ini. Dengan langkah tergesa-gesa aku mengorak langkah ke tandas. Mujur juga khemahku berada agak hampir dengan tandas. Lega. Itulah perasaanku setelah selesai menunaikan hajat. Namun sebaik sahaja ingin keluar dari tandas tiba-tiba ada satu "lembaga" berdiri betul-betul dihadapanku. Terjerit aku kerana terkejut.
Mungkin beginilah rupaku terkejut..:)

 "Hah tahu pun takut", kata "lembaga" itu. 
" Errr cikgu, saya ingatkan apa tadi". ujarku menutup kegugupanku.
 "Yang awak ni kenapa pergi toilet sendiri ni? tak dengar ustaz pesan apa tadi? nanti kalau jadi apa-apa siapa yang susah?",marah cikguku. 
"Saya minta maaf cikgu tapi saya dah tak tahan nak kencing cikgu, kejut kawan dia tak bangun", jawabku.  
"Dah saya taknak dengar apa-apa alasan, sekarang balik khemah dan tidur. Esok lepas makan tengahari jumpa saya di surau.", kata cikguku.
"Ermm baiklah cikgu", balasku pula.
Dengan langkah yang longlai aku bergerak menuju ke khemah. "Apalah nasibku esok", aku bermonolog sendiri.( bersambung lagi :) )

Friday, 15 November 2013

Belajar Berdikari..Hidup diluar Kotak..

Hari ini aku dan sahabat baikku telah mengikuti program 1 Citizen iaitu program yang diwajibkan kepada semua pelajar yang mengambil kursus Hubungan Etnik. Program ini diadakan di Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat, UKM. Memikirkan 10% markah peperiksaan dikira melalui program ini maka terpaksa jugalah kami mengikuti program ini. Sebenarnya, hari ini bukan program 1 Citizen sahaja yang berlangsung di FTSM tetapi turut dijalankan hari ini program Kem Syahdu yang dianjurkan oleh Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood. Berpusu-pusu ibubapa datang menghantar buah hati mereka untuk mengikuti kem ini. Alhamdulillah, masih ramai ibubapa yang prihatin terhadap kepentingan dan kewajipan memberi pendidikan agama terhadap anak-anak mereka.


Aku juga pernah mengikuti program seumpama ini suatu masa dahulu iaitu ketika berada di sekolah rendah. Namun program ini hanya dijalankan diperingkat sekolah sahaja. Kem Ibadah namanya. Bayarannya hanya RM10 dan kami diminta bermalam disekolah selama 2 hari 1 malam. Masih aku ingat, perasaanku ketika itu sungguh teruja kerana aku tiada pengalaman berjauhan dari ibu bapaku. Meskipun teruja namun masih juga terselit kegusaran apabila memikirkan bagaimana hendak menyesuaikan diri di tempat baru. Tambahan pula, ada yang menakutkan aku dengan cerita-cerita hantu yang tidak masuk akal. Namun ketika itu, cerita-cerita itu aku percaya seratus peratus. Maklum sahajalah, ini merupakan pengalaman pertama berjauhan dari keluarga. Seusai program bersama ustaz sekitar jam 10.30 kami disuruh mengambil supper sebelum tidur. Aku yang sememangnya menggemari air milo ditambah pula kedahagaan yang melanda mendorong aku minum hampir 3 gelas air milo. Puas rasanya. Setelah itu, aku terus masuk ke khemah untuk tidur. Ajakan rakan untuk ke tandas aku tolak kerana rasa mengantuk yang teramat sangat. Kisah bermula apabila aku...(nantikan sambungannya)

Anugerah dari sebuah kegagalan


Cuti pertengahan semester baru-baru elah memberi kesempatan kepada aku untuk menziarahi saudaraku di Temerloh. seperti kebiasaanya, radio menjadi peneman sepanjang perjalanan kami sekeluarga. Bagi aku, aku lebih gemar melihat permandangan luar. Terasa tenang dan damai dapat melihat keindahan alam yang terbentang di bumi Allah SWT ini. Namun di sebalik keasyikan melihat kehijauan alam sekitar, ada sesuatu yang menarik perhatianku untuk terus mendengar dan menghayati iatu lagu yang sedang dimainkan di radio.

Dari kegagalan
Satu percintaan
Kualami
Penderitaan
Kesengsaraan
Kebatinan

Tapi di sebalik
Semua kepahitan
Tersembunyi
Oh keinsafan
Dan pengertian
Yang amat dalam

Terbukti kegagalan
Bukanlah kehancuran
Dengan anugerah
Nikmat dan hikmat
Kehidupan

Aku pelajari
Mengenali diri
Dan siapa kita
Yang sebenarnya
Di bumi Tuhan
Ho ho 

Lagu nyayian Dato' Shake berkumandang di radio. Aku hayati setiap lirik lagu Anugerah dari Kegagalan ini. Terkesan sesuatu jauh di sudut hati ini. Aku sama juga seperti insan-insan yang lain tidak terlepas dari mengalami kegagalan.  Kegagalan sering dilihat dari perspektif yang negatif sedangkan kejayaan yang tercipta hasil dari kegagalan jauh lebih manis dari kejayaan yang tanpa kegagalan. Namun aku hanya manusia biasa yang tidak terkecuali merasa kecewanya apabila menghadapi suatu kegagalan. Ya Allah sungguh aku selama ini hanya tahu mengeluh dan menyalahkan takdir tika aku diuji oleh kegagalan. Sedangkan, ujian adalah tanda kasih dan sayang Allah terhadap hambanya. Masih aku teringat suatu peristiwa di mana aku tidak berjaya mendapat tempat dibidang pendidikan. Cita-cita aku adalah membahagiakan kedua orang tuaku. Oleh itu, hasrat ibubapaku untuk melihat aku menjadi guru mendorong aku berusaha sedaya upaya merealisasikan impian mereka. Bermula selepas SPM aku memohon melanjutkan pelajaran ke maktab perguruan, namun jawapannya aku gagal mendapat tempat. Sedih, kecewa dan takut. Itu perasaan yang aku rasa ketika itu. Aku sedih kerana gagal, kecewa kerana tidak berjaya memenuhi impian ibu dan bapaku serta taku aku tidak dapat menjadikan impian mereka sebuah kenyataan. Kesedihan ini tidaklah berpanjangan kerana hasil dorongan dan semangat ibubapaku, sahabat handai dan guru-guru membuatkan aku terus melangkah ke hadapan. Tawaran mengikuti diploma farmasi, kejuruteraan dari beberapa institusi pengajian dan kolej aku terpaksa tolak. Aku memilih untuk mencuba kali kedua iaitu dengan memasuki tingkatan enam. Meskipun mendapat respon negatif dari banyak pihak aku tetap dengan pendirianku. Aku berusaha sedaya upaya bagi memastikan keputusan STPM ku melayakkan aku mengikuti bidang pendidikan. Alhamdulillah keputusanku memberangsangkan namun aku tetap juga gagal mendapat tempat dalam bidang pendidikan. Aku redha, walaupun payah dan perit untuk aku terima. Ya, aku percaya mungkin ada cara lain yang mampu membahagiakan kedua ibubapaku. Insya Allah, aku tetap akan berusaha menjadi anak yang mampu memberi kebahagiaan dan ketenagan kepada mereka di dunia dan juga di akhirat.