counter

Thursday, 31 October 2013

Sukun Oh Sukun

Peluang berkumpul bersama rakan-rakan satu kelas pengajian ku (ukm) menimbulkan rasa seronok seperti berada di zaman sekolah asrama dahulu. Banyak perkara yang kami bualkan bersama.  Kerancakkan berbual menyebabkan kami tidak sedari jam sudah melewati jam 3 pagi. Kenangan-kenangan lama diceritakan kembali. Ada cerita yang mengundang gelak dan tawa namun ada juga cerita yang mengundang rasa simpati dan sedih. Antara banyak-banyak perkara yang dibualkan, ada satu perkara yang membawaku kembali ke satu kenangan satu waktu dahulu iaitu sukun. Di kawasan kejirananku, ada jiran yang menanam pokok sukun di tepi rumahnya. Pokoknya besar dan berbuah lebat. Buah-buahnya selalu disedekahkan kepada jiran-jiran sekitar kejiranan kami.
Boleh dikatakan tiap-tiap petang juga ibuku membuat sukun goreng atau kerepek sukun atau pengat sukun sebagai juadah petang. Masih terasa-rasa kesedapannya. Tapi disebalik kesedapan buah sukun tersebut, ada cerita misteri yang tersembunyi. Pokok sukun yang besar itu sering menimbulkan ketakutan aku dan rakan-rakan sepermainanku. Pokok yang besar itu kelihatan sungguh menyeramkan kala malam. Mahu atau tidak aku terpaksa juga melaluinya kerana itulah laluan aku untuk pergi mengaji al Quran. Setiap kali melaluinya pasti aku berlari selaju yang boleh sambil menjerit memangil ibuku kerana bimbang dikejar hantu. Atau aku akan membaca surah-surah yang diingati sdengan suara yang kuat. Kelakar bila memikirkan ketakutan melampau ketika itu. Menurut cerita orang-orang tua, pokok sukun tersebut dihuni oleh jembalang. Sejauh mana kebenarannya tidak dapat aku sahkan. Mungkin juga sekadar rekaan semata-mata untuk mengelakkan kami dari keluar malam. Tapi kini pokok tersebut sudah tidak ada lagi. Sudah ditebang kerana takut dahannya menghempap rumah dan mendatangkan bahaya. Sukun oh sukun. Rindu rasanya ingin menikmati sukun goreng, kerepek sukun, pengat sukun seperti dulu-dulu..


Sukun Goreng
Kerepek Sukun

Pengat Sukun



Monday, 21 October 2013

Kenangan Semalam


Mengimbau kenangan semalam saat keberangkatan pulang ke medan pencarian ilmu setelah cuti sambutan Raya Aidiladha berakhir. Sepanjang perjalanan hanya curahan air hujan yang menemani. Seperti memahami beratnya hati meninggalkan semua kesayanganku di teratak bonda dan ayahanda. Mungkin betullah apabila hujan itu sering disamakan dengan kesedihan, kedukaan, kelukaan seseorang yang termasuk juga aku. Tergiang-giang lagu Allahyarham Sudirman Hj. Arshad, Hujan. 
.
Maka bertambah-tambahlah kesedihanku mengenangkan insan-insan di rumah. Ku rasa hujan menambah lagi kedinginan air-cond di dalam bas. Menggigil jadinya kerana menahan kesejukan. Saat itu mulalah teringatkan bantal dan selimutku. Seronok rasanya jika saat-saat ini berada di rumah. Boleh berselubung di dalam selimut di alasi pula katil empukku bersama bantal kesayanganku. Namun itu semua angan-anganku saja. Realitinya aku harus pulang!. Menyambung semula pengajianku dalam proses mencari setitis ilmu.     
Titisan hujan dibumi Bentong
  Suasana sepi di dalam bas membuatkan aku lebih berminat melontar pandangan jauh ke luar jendela. Memerhatikan rintik-rintik hujan yang turun. Damai perasaanku kala itu. Kenangan lama bergulir di ruang ingatanku. Kenangan beberapa tahun dahulu ketika aku masih dibangku sekolah rendah. Hujan merupakan kegemaranku dan sahabat-sahabatku. Pantang bunyi guruh dilangit ditambah perubahan cuaca, kami sekumpulan sudah pun bersiap sedia menanti di luar.Menikmati angin yang kencang dan suasana yang sejuk. Turun sahaja hujan kami melonjak-lonjak kegembiraan. Seronoknya masa itu. Berlari-lari kami ke sana ke mari di dalam hujan lebat. Ada sahaja tempat yang digenangi air hujan pasti menjadi destinasi permainan kami. Tidak terlepas longkang di hadapan rumahku. Untuk pengetahuan, longkang di kawasan perkampunganku bersih dan tidak di mempunyai sampah sarap dan bukannya dijadikan saliran air kotor dari rumah-rumah. Longkang sentiasa dibersihkan oleh pihak yang bertanggungjawab. Jadi tidak menjadi hal untuk kami bermain air hujan di dalam longkang. Kami akan bermain sehinggalah hujan reda. Namun kebiasaanya setelah hujan berhenti pasti kami dimarahi oleh ibu dan ayah kerana bermain hujan dan kadangkala dirotan kerana melanggar larangan mereka. Meskipun selalu dimarahi tetapi ianya tidak menghalang kami bermain hujan kerana hujan adalah kegemaran kami. Tersenyum aku sendirian di dalam bas memikirkan kenakalanku suatu masa dulu. 




Thursday, 10 October 2013

Mencari Taman-Taman Syurga



Seusai solat maghrib, terdengar suara imam di surau kolej sayup-sayup menyampaikan ceramah. Butir bicara nya tidak jelas dipendengaranku. Keluhan berat dilepaskan. Sungguh, aku merindui saat tinggal di asrama dahulu. Tiap-tiap malam kami dipenuhi dengan majlis-majlis ilmu. Kata ustazku empat tahun yang lalu, "Majlis-majlis ilmu umpama taman-taman syurga Allah. Carilah taman-taman syurga di dunia  sementara masa ada hayat". Seronok ketika itu kerana hidup ini sentiasa terisi dengan kalam-kalam Ilahi. Bersama sahabat-sahabat bergerak ke surau dan solat berjemaah bersama. Kemudian disusuli pula tazkirah oleh ustaz dan uztazahku. Disampaikan penuh berhemah dan penuh kasih sayang oleh ustaz dan ustazah. Namun kini, sedih bila mengenangkan kealpaan diri ini yang seakan tiada kesungguhan merebut peluang menghadirkan diri ke taman-taman syurga. Allahu Rabbi. "Moga masih ada kesempatan buatku dan juga teman-temanku mencari taman-taman syurga Ilahi. Menjadikan majlis ilmu sebagai destinasi pilihan."


Tuesday, 1 October 2013

Janji Abah..

Kepergian aku bersama rakan sekursusku ke Muzium Adat, Kuala Klawang pagi semalam merupakan suatu yang sangat mengujakan. Kami berpeluang memahami dan menambah ilmu pengetahuan berkenaan adat istiadat terutamanya adat perpatih. Pengalaman ini pastinya akan ku simpan di dalam kotak kenanganku. Mengimbau semula kenangan aku menyertai lawatan, ada satu satu kenangan yang kurasakan cukup sukar untuk dilupakan meski sudah 15tahun ianya berlalu. Ketika itu aku baru berusia 6 tahun dan belajar di tadika. Seperti tahun-tahun yang sudah, sebelum tamat belajar di tadika, pihak tadika akan menganjurkan lawatan ke Zoo Negara. Ya, aku antara orang yang menyertainya. Bertapa gembiranya aku kerana akan dibawa melihat haiwan dengan lebih dekat lagi. Abahlah yang menjadi penemanku. Tanganku sentiasa digengamannya, takut aku hilang katanya. Bila aku merengek kepenatan, abah tidak lokek mendukungku. Seharian kami berjalan mengelilingi zoo melihat haiwan-haiwan yang ada dalam kurungan. Abah jugalah yang menjadi guruku hari itu. Semua binatang diperkenalkan kepadaku. Banyak ilmu yang ku peroleh hari itu. Tidak sabar rasanya ingin menceritakan kepada teman-teman dan adik-beradikku yang lain. Tidak ketinggalan, abah turut menjadi cameramanku. Setiap tempat yang kami lawati pasti menjadi tempat untuk aku bergambar, pelbagai gaya dan aksi aku lakukan untuk kenang-kenanganku. Bertuah sungguh punya abah yang kaya dengan kasih sayang. Seusai berjalan di Zoo Negara, kami meneruskan pula perjalanan ke sebuah shopping complex. Aku dan abah tidak ketinggalan berjalan-jalan mencuci mata di sana. Setiap tingkat kami lawati. Tiba di tingkat menjual aneka alat tulis dan keperluan sekolah aku jadi rambang mata. Teruja rasanya melihat pelbagai jenis dan corak beg sekolah. Tapi kata abah aku masih tadika dan beg sebegitu tidak sesuai untukku kerana terlalu besar. Kemudian aku beralih ke rak yang dipenuhi pensil warna. Mataku tertumpu kepada pensil warna Luna yang ada 24 batang warna di dalamnya. Di sisiku, abah hanya memerhatikanku. "Abah, nak pensil warna ni boleh?" tanyaku. Dengan penuh berhemah abah memnyatakan yang dia tidak cukup wang kerana harganya mahal. Duit yang ada untuk membeli makanan. Meski sedih namun aku memahaminya kerana aku tahu abahku bukan orang kaya. Melihat kesedihanku Abah berjanji akan membelinya nanti. Mungkin ditempatku harganya lebih murah kata abah. Aku tersenyum kegembiraan mendengar janji abah. Beberapa bulan kemudian aku mendaftar didarjah satu. Petang itu, pulang dari sekolah abahku menghulurkan sekotak pensil warna. Gembira tatkala mengambilnya dari tangan abah. Meskipun abah hanya membelikan pensil warna Luna yang bersaiz kecil namun aku tetap gembira. Bersyukur dikurniakan abah sepertinya. Semoga Allah terus meminjamkan aku ibu bapa sebaik mereka. Aminn..